Makkah al-Mukarramah II

in


Doa itu Munajat Hamba


Firman Allah s.w.t. :
 
Wahai manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia-lah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
(Fatir: 15)

 
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenaiKu maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka berada dalam kebenaran.
(Al-Baqarah: 186)



Hajarul Aswad


Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Hajar Aswad itu diturunkan dari syurga, warnanya lebih putih daripada susu, dan dosa-dosa anak cucu Adamlah yang menjadikannya hitam."(Jami al-Tirmidzi al-Hajj (877), darjat hadis Hasan Shahih)

Ibn Zhahirah mengingatkan bahawa dosa-dosa manusia mampu menghitamkan batu, apatah lagi kesan dosa terhadap hati manusia.

Baginda Rasulullah s.a.w menciumnya, sebagaimana yang dilakukan nabi-nabi sebelumnya, sehingga Hajar Aswad menjadi tempat bertemunya bibir para nabi, orang-orang soleh, para haji dan mu’tamirin sepanjang sejarah.

Diriwayatkan dari Tarmizi bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
“Demi Allah, Dia akan mengutusnya pada Hari Kiamat kelak, dengan dua matanya ia akan melihat dan dengan lidahnya ia akan memberi kesaksian atas sesiapa sahaja yang menyalaminya dengan kebenaran.”

Pada awalnya sekadar memerhati. Mereka yang berjaya mengucup Hajar Aswad pasti terukir senyuman dan mengalir air mata kegembiraan.

 

Multazam


Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Antara Rukun Hajar Aswad dan Pintu Ka'bah, yang disebut Multazam. Tidak seorangpun hamba Allah yang berdoa di tempat ini tanpa terkabul permintaannya."

Ibnu Abbas berdoa di Multazam dengan berdiri sambil mengangkat tangannya ke atas menekap Kaabah. Beliau berkata bahawa Rasulullah berbuat demikian.

Ya Allah, Tuhan pemilik Baitul Atiq, bebaskanlah kami dan ibubapa kami, saudara-mara kami, anak-anak kami dari api neraka, wahai Tuhan yang memiliki kemewahan, kemurahan, kemuliaan, keutamaan dan belas kasihan. Ya Allah, kurniakan pahala dalam segala urusan kami, dan jauhkan dari segala kehinaan dunia dan seksa akhirat.

Ya Allah sesungguhnya aku ini hamba-Mu, berdiri di bawah pintu Multazam, merendah diri di hadapan-Mu kerana mengharap rahmat-Mu dan takutkan seksa-Mu, wahai Tuhan yang sentiasa bersifat ihsan.

Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepada-Mu supaya Engkau muliakan sebutan namaku, gugurkan dosa-dosaku, sucikan hatiku, terangkan kuburku dan ampunkan dosaku. Aku memohon kepada-Mu darjat tertinggi syurga. Ameen.”

Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyejuk mata penyenang hati, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”

Ya Tuhan kami, bantulah kami dalam perjuangan menuntut ilmu perubatan. Teguhkanlah semangat kami, permudahkanlah bagi kami kefahaman, kuatkanlah ingatan kami, rahmatilah dan berkatilah perjuangan kami, dan kurniakanlah kami kejayaan dan jadikanlah kejayaan itu kejayaan yang memartabatkan Islam.”


Segala hajat hati diluahkan. Segala harapan diri dinyatakan. Sesungguhnya hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...