Destinasi Cinta

in


19. Maka sesiapa yang diberikan kitab amalnya di tangan kanannya, maka dia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): ` Ambillah! Bacalah kamu kitab amalku ini.
20. "Sesungguhnya aku yakin, bahawa aku akan menghadapi perhitungan amalku (pada hari yang ditentukan)."
21. maka dia berada dalam kehidupan yang diredhai
22. di dalam syurga yang tinggi (darjatnya).
(Al-Haqqah: 19-22)

Bahagia

Menurut Ibnu Kathir, di dalam syurga yang tinggi itu, tersedia istana mahligai, juga kebahagiaan abadi.
 
Bahagia dan gembira, perasaan yang menjadi keinginan dan keperluan setiap manusia. Ada yang mencarinya melalui jalan yang benar, natijahnya kegembiraan di dunia dan akhirat. Namun ada yang mencarinya di jalan yang menyimpang, natijahnya kebinasaan yang jauh lebih besar berbanding kegembiraan sementara. Ketenangan dan kebahagiaan abadi, hanya di Jannatullah.  

Firman Allah Ta’ala:
Maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari tersebut, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (pada wajah), dan kegembiraan (pada hati).
(Al-Insan: 11)


22. Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam syurga yang penuh nikmat.
23. Mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), sambil melihat (segala keindahan dan kemuliaan yang disediakan untuk mereka).
24. Engkau dapat mengetahui daripada wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan.
(Al-Mutaffifin: 22-24)

Syurga dan Neraka

Sabda Rasulullah s.a.w. :


Sesungguhnya Syurga itu 100 darjat, beza setiap darjat adalah seperti jarak antara langit dan bumi. (Muttafaqun ‘alaih)

Dari Abu Hurairah r.a, katanya: "Kami semua bersama Rasulullah s.a.w., tiba-tiba terdengarlah suara benda yang jatuh keras, lalu beliau bersabda:

"Adakah engkau semua mengetahui suara apakah ini?"

Kami semua berkata: "Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui."

Baginda s.a.w. lalu bersabda: "Ini adalah batu yang di Iemparkan ke dalam neraka sejak 70 tahun yang lalu dan kini sudah sampai di dasar neraka itu. Maka dari itu engkau semua dapat mendengarkan suara jatuhnya." (Riwayat Muslim)

Harga Kebahagiaan

"Sesungguhnya aku yakin, bahawa aku akan menemui perhitungan amalku (pada hari yang ditentukan)."

Apakah sifat mereka yang yakin akan pertemuan dengan hisab?

Apakah ciri-ciri mereka yang yakin dan mengharap pertemuan dengan Allah, mengharap sebaik-baik ganjaran hanya daripadaNya ?

Pertemuan yang didambakan, tidak akan dikecapi tanpa usaha.

Firman Allah s.w.t. :
Maka barangsiapa yang mengharap pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal kebaikan dan janganlah dia mempersekutukan dengan sesuatupun dalam ibadahnya kepada Tuhannya.
(Al-Kahfi:110)

Jalan kebaikan itu luas. Dan syarat amal kebaikan itu diterima Allah adalah niat  yang ikhlas kerana Allah dan dilaksanakan menepati/ tidak bercanggah dengan syara’. Ibadat khusus, program tarbiyyah, majlis ilmu, majlis zikrullah, usrah/smart circle/muzakarah berkelompok, dakwah ilAllah, akademik, kebajikan, bacaan fikrah Islamiyyah, tadabbur alam dll. Terlalu banyak untuk disenaraikan. Usah dibuang masa yang amat bernilai pada jalan selain daripada jalan kebaikan.

“Barangsiapa yang mengharap pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal kebaikan.”


5. Barangsiapa yang mengharap pertemuan dengan Allah (untuk menerima balasan), maka sesungguhnya masa yang telah ditetapkan oleh Allah itu akan tiba (dengan tidak syak lagi); dan Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

6. dan barangsiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; Sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.
(Al-‘Ankabut: 5-6)

Berjuanglah, demi kebaikan dirimu, dunia dan akhirat.
Berjuanglah, sesungguhnya rahmah dan redha Ilahi berada di sepanjang jalan perjuangan dan di penghujungya.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...