Kelalaian Yang Membinasakan

in




Kematian Itu Pasti, Bersediakah Kita?

Firman Allah ‘Azza wa Jalla:
Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah sakaratul maut membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): "Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!"
[Qaf 50:19]

Saat kematian pasti tiba. Tiada tempat berlindung mahupun persembunyian daripadanya. Yang menjadi persoalan, apakah persediaan kita. Bagaimana amalan kebaikan kita. Sesungguhnya kematian adalah garisan penamat, noktah buat fasa beramal dan mencari bekalan. Sudah cukupkah bekalan untuk melangkah pergi meninggalkan fasa amal, menuju fasa pengadilan dan pembalasan?


Manusia bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat; katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanya di sisi Allah. " Dan tahukah engkau boleh jadi hari kiamat itu sudah dekat waktunya.
[Al-Ahzab:63]

Dekat.
Dekat waktunya.


Firman Allah Ta'ala (bermaksud):
112. Allah bertanya: "Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?"

113. Mereka menjawab: "Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian daripada sehari, maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung

114. Allah berfirman: "Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sebentar sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia).

115. "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu main-main (tanpa ada tujuan) dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"
[Al-Mu’minun:112-115]

Sebentar.
Sebentar sahaja kehidupan dunia dibandingkan dengan kehidupan akhirat.

(Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya, seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja.
[An-Nazi’at:46]

Daripada Ibnu Mas'ud r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku (bermaksud):


"Syurga itu lebih dekat kepada seseorang daripada kalian daripada tali kasutnya dan neraka juga demikian." (Riwayat Bukhari)


Hari Kebangkitan

20. dan (apabila sampai saat yang ditentukan) ditiuplah sangkakala (untuk menghidupkan semula makhluk-makhluk yang telah mati); saat itu ialah hari berlakunya amaran yang telah diberikan.


21. dan (setelah itu) datanglah setiap orang (ke padang Mahsyar), disertai (malaikat) pembawa, dan (malaikat) saksi;
[Qaf:20-21]

Menurut Ibnu Kathir, manusia akan disertai 2 malaikat, iaitu malaikat pembawa yang menghantarnya ke tempat perhimpunan dan malaikat saksi yang menjadi saksi terhadap dirinya berkaitan dengan perbuatannya.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda (bermaksud):
Bagaimana mungkin saya berasa gembira sedangkan malaikat yang bertanggungjawab atas sangkakala telah menempatkan sangkakala ke mulutnya, dan menurunkan dahinya, menunggu masa diperintahkan (oleh Allah untuk meniupnya).

Inilah ungkapan baginda Muhammad s.a.w, uswatuna wa qudwatuna. Sebagai ummat baginda, yang mendambakan tempat yang hampir dengan tempat baginda kelak, apakah perasaan yang hadir apabila mendengar kalam baginda itu?

Adakah patut bagi kita untuk mensia-siakan masa kehidupan yang singkat ini dengan perkara yang tidak memberatkan timbangan amal kebaikan?


Leburkan Kelalaian

22. "Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka Kami singkapkan tutup (yang menutupi) matamu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat)".


23. dan berkatalah malaikat yang sentiasa ada bersama-samanya: "Inilah (kitab catatan iman dan amal) orang yang terletak dalam jagaanku, siap sedia (untuk dibicarakan)". 
[Qaf:22-23]
 
Telah semakin hampir kepada manusia hari perhitungan amal mereka, sedang mereka dalam kelalaian (dengan dunia), berpaling (dari akhirat).
[Al-Anbiya’:1]




(Lalu dikatakan kepada mereka: "Oleh sebab kelalaian kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan harimu ini (hari kiamat). Sesungguhnya Kami pun melupai (tidak hiraukan keselamatan) kamu; dan rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan".
[As-Sajdah:14]


Ya Allah. Hadirkanlah rasa takut kepada-Mu, yang menjadi penghalang antara kami dan maksiat kepada-Mu. Hadirkanlah ketaatan kepada-Mu, yang membawa kami ke syurga-Mu.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...