Takutlah Wahai Jiwa

in

15. Katakanlah: "Sesungguhnya aku takut jika aku derhaka kepada Tuhanku, (akan ditimpa) azab hari yang besar (hari kiamat)".
16. Sesiapa yang dijauhkan azab daripadanya pada hari itu, maka sesungguhnya Allah telah memberi rahmat kepadanya, dan itulah kejayaan yang jelas nyata.
(Al-An’am: 15-16)



17. Allah yang menurunkan kitab suci dengan membawa kebenaran, dan menurunkan keterangan yang menjadi neraca keadilan. Dan tahukah kalian, boleh jadi hari kiamat itu sudah dekat (masa datangnya).
18. Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat itu meminta (secara mengejek-ejek) supaya disegerakan kedatangannya, dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman merasa takut ngeri kepadanya serta mereka mengetahui dengan yakin bahawa ia adalah benar.
(As-Syura: 17-18)


Di Mana Al-Khauf ?

Al-Khauf itu takut kepada Allah Ta’ala. Takut akan azabNya.
Al-Khauf itu benteng dan perisai daripada kederhakaan.
Andai maksiat itu ada, bermakna al-khauf tiada dalam diri.

Takutlah wahai jiwa, daripada maksiat kepada Tuhanmu, kerana murkaNya mengundang azab.

Dari 'Adi bin Hatim r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tiada seorangpun daripada engkau semua, melainkan akan dibicara oleh Tuhannya, tidak ada antara dia dengan Tuhannya seorang perantara bahasa. Orang itu lalu melihat ke arah kanannya, tetapi tidak ada yang dilihat olehnya, melainkan amalan yang telah dilakukan dahulu, dan dia melihat ke arah kirinya, maka tidak ada yang dilihat olehnya melainkan amalan yang dilakukan dahulu, seterusnya dia melihat ke hadapan, maka tidak ada yang dilihat olehnya melainkan neraka yang ada di hadapan mukanya itu. Maka takutlah engkau semua pada seksa api neraka, sekalipun dengan jalan sedekah dengan belahan kurma." (Muttafaqun 'alaih)

Allah Ta’ala telah berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar, mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.
(At-Tahrim: 6)

Takutlah wahai jiwa, daripada mencemari pendengaran, penglihatan, perkataan, kulit dan tindakanmu dengan maksiat kepada Tuhanmu.

Daripada Ibnu Mas'ud r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku:
"Syurga itu lebih dekat kepada seseorang daripada kalian daripada tali kasutnya dan neraka juga demikian." (Riwayat Bukhari)

Imam Nawawi rahimahullah mensyarahkan:
Tidak wajar bagi seseorang itu merasa cukup dengan kebaikan yang telah dilakukan, juga tidak wajar bagi seseorang itu memandang ringan perihal dosa.  


Teladan

Seorang murid Imam Ahmad bin Hanbal telah berkata kepada beliau:
“Wahai Abu 'Abdullah. Apakah pendapat kamu terhadap syair yang mengandungi sebutan syurga dan neraka?”
Beliau berkata: “Seumpama apakah syair itu?”
Muridnya menjawab: Mereka berkata: (membacakan syair)

Ketika berkata Tuhanku kepadaku 
Tidakkah malu maksiat terhadapKu
Menyembunyikan dosa dari makhlukKu    
Dengan penuh noda menghadapKu


Lalu beliau berkata: “Ulangi sekali lagi.”
Berkata muridnya: “Lalu aku ulangi sekali lagi, lalu beliau bangun dan memasuki rumahnya serta menutup pintu. Ketika itu aku mendengar suara tangisannya dari dalam dan beliau mengulangi syair tadi.”


Ayat-Ayat Cinta

Takutlah wahai jiwa, sehingga ketenangan iman menyelubungi jiwa, sehingga layak bagimu ayat cinta Allah Ar-Rahim. 

Firman Allah s.w.t. :
27. Wahai jiwa yang tenang! 28. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai (di sisi Tuhanmu) 29. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu (yang berbahagia) 30. dan masuklah ke dalam syurgaKu.
(Al-Fajr: 27-30)

Bicara peringatan buat jiwa kita





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...