Bahagia Yang Dicari - Solat

in

Manusia berhajat kepada jiwa yang bahagia, damai dan gembira. Maka mereka mencarinya. Adakah mereka berhasil memilikinya?
Jika tidak, di mana silapnya? Jika berhasil, adakah yang ditemui itu benar-benar bahagia yang berkekalan, ataupun sekadar buat suatu waktu yang amat sekejap?

Rasulullah s.a.w. mengajar kita ummatnya, bahawa antara perkara yang padanya hati dan hidup menemui kedamaian yang tulen, ialah solat.



Ganjaran Solat

·         Ganjaran di dunia

Sabda Rasulullah s.a.w. :
“Dijadikan penyejuk mataku di dalam solat.” (Riwayat Ahmad dan An-Nasaai)
Penyejuk mata bermaksud perkara yang menggembirakan hati, juga suatu nikmat ketenangan.

Rasulullah s.a.w. ketika berlaku sesuatu yang menyedihkan atau mendukacitakan, baginda bersabda:
“Wahai Bilal! Serulah untuk solat (iqamat) dan rehatkanlah kami dengannya.”
(Riwayat Abu Daud)

Firman Allah Ta’ala:
Ketahuilah dengan zikrullah (mengingati Allah) itu, tenang tenteramlah hati (manusia).
(Ar-Ra’d: 28)


41. Wahai orang-orang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya;
42. dan bertasbihlah kamu kepadanya pada waktu pagi dan petang.
43. Dialah yang memberi rahmat kepada kamu, dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu) untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dan taat); dan adalah dia sentiasa melimpah-limpah rahmatNya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat).
(Al-Ahzab: 41-43)

Muhasabah buat diri kita. Bagaimana kita mencari kerehatan, bagaimana kita menggembirakan hati tatkala dilanda dukacita dan kesedihan? Adakah dengan perkara yang diredhai Allah dan disukai Rasulullah, atau sebaliknya?



·         Ganjaran di akhirat

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya ummatku itu akan dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan bercahaya wajahnya dan amat putih bersih tubuhnya dari sebab bekas-bekasnya berwudhu'. Maka dari itu, barangsiapa yang dapat di antara engkau semua hendak memperpanjang (menambahkan) cahayanya, maka baiklah dia melakukannya - dengan menyempurnakan berwudhu' itu sesempurna mungkin."
(Muttafaqun 'alaih)[i]

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya amalan terawal yang seseorang itu dihisab dengannya ialah solatnya, maka jikalau baik solatnya itu, sungguh-sungguh berbahagialah dan beruntunglah dia dan jikalau rosak, sungguh-sungguh menyesal dan rugilah dia. Jikalau seseorang itu ada kekurangan dari sesuatu amalan wajibnya, maka Tuhan Azzawajalla berfirman:
"Periksalah olehmu semua - hai malaikat, apakah hambaKu itu mempunyai amalan yang sunnah." Maka dengan amalan yang sunnah itulah ditutupnya kekurangan amalan wajibnya, kemudian cara memperhitungkan amalan-amalan lainnya itupun seperti cara memperhitungkan amalan solat ini."
(Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahwa ini adalah Hadis hasan.)[ii]

Akibat Buruk Meninggalkan Solat

Apabila solat ditinggalkan, maka akibatnya adalah segala yang berlawanan dengan ganjaran solat.
Hati tidak tenteram, tiada damai. Hidup kehilangan seri dan cahaya, serta rahmatNya.
Akibatnya jauh lebih dahsyat di akhirat kelak. Penyesalan dan kerugian yang amat bagi orang yang meninggalkan solat.

Firman Allah Ta’ala:
42. (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, penghuni syurga berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?"
43. orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan solat.
(Al-Muddassir: 42-43)

Damai Bersama Islam




Apa Yang Memperdayakan Kamu?



6. Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu (sehingga menderhaka) kepada Tuhanmu Yang Maha Pemurah?
7. Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan anggota itu diciptakan), serta menjadikannya seimbang.
(Al-Infitor: 6-7)

P.S. Artikel yang menarik – Dakwah Solat


[i] Riyadhus Solihin hadis no. 1021
[ii] Riyadhus Solihin hadis no. 1078


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...