Cinta Padamu Rasulullah

in


Muhasabah cinta buat jiwaku dan jiwamu.

Kekasih Allah

Engkaulah utusan Allah, kekasih Allah s.w.t.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mencintai Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Ali ‘Imran: 31)

Wahai jiwa, cintailah Allah, cintailah RasulNya.

Pengorbananmu

Niat sucimu menyampaikan risalah Islam kepada manusia, dituduh dengan pelbagai tuduhan palsu dan hina.
Ketika engkau solat di Ka’abah, ‘Aqabah Abi Mu’it datang mencekikmu.
Suatu ketika engkau sedang sujud solat, engkau dilemparkan dengan najis sembelihan dan ditertawakan oleh musyrik Quraisy.
Engkau menanggung pelbagai kejian dan maki-hamun. Wajahmu diludah.
Engkau dan para sahabat diuji sehingga terpaksa makan daun-daun dan pucuk kayu semasa pemulauan.
Di Taif, engkau dilontar dengan batu-batu sehingga berdarah kedua belah kakimu.
Di tengah kehangatan perang Uhud, besi perisai menusuk pipimu. Dahimu dicalari, darah mengalir di wajahmu. 
Kesemuanya engkau hadapi dengan tabah, demi perjuangan dakwah ilAllah.  



Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.
(At-Taubah:128)

Nikmat Islam dan Iman yang mendamai di jiwa kami ummatmu, adalah hasil kegigihanmu. Terlalu hebat kegigihanmu, terlalu besar pengorbananmu.

Engkaulah Cahaya

Di saat kegelapan mengisi ruang hidup manusia, engkau hadir wahai Rasulullah.
Kegelapan yang menyesakkan dada dan menyedihkan perasaan manusia.
Kegelapan yang perlu kepada cahaya yang menyuluh jalan petunjuk.  
Engkaulah cahaya wahai Rasulullah.  



Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.
16. Dengan (Al-Quran) itu Allah memberi petunjuk kepada orang yang mengikuti keredhaanNya ke jalan-jalan keselamatan, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita kepada cahaya (Iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan  menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.
(Al-Maidah: 15-16)


Rindu

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa Sallam telah pergi ke kawasan perkuburan dan berkata, “Sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami Insya Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita”. Sahabat bertanya: Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah? Baginda menjawab: “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang mukmin) yang belum muncul (i.e mukmin di masa hadapan)… (Riwayat Muslim)

Wahai jiwa, rindukah engkau kepada Baginda s.a.w. ? Cintakah engkau kepadanya?
Inginkah engkau bertemu dengannya? Apakah usahamu? Di manakah mujahadahmu?

Kesempurnaan Iman

Daripada Anas r.a., bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada dirinya, keluarganya serta seluruh manusia. (Muttafaqun ‘alaih)

Saidina Umar al-Khattab r.a. pernah berkata:
“Sesungguhnya engkau yang paling aku cintai daripada segalanya, kecuali diriku.”

Rasulullah s.a.w menjawab: “Tidak! Demi Allah yang diriku berada dalam genggamanNya, sehingga aku menjadi orang yang paling engkau cintai, walaupun terhadap dirimu sendiri.”

Umar terdiam sejenak, dia memahami bahawa hak Rasulullah s.a.w lebih penting daripada yang selainnya, lebih utama daripada seluruh makhluk termasuk jiwanya sendiri yang wajib dikorbankan demi Rasulullah, kerana bagindalah yang telah menyelamatkan jiwanya daripada api neraka.

Akhirnya Umar berkata: “Sekarang, demi Allah! Sesungguhnya engkaulah yang paling aku cintai walaupun terhadap diriku sendiri.”

Rasulullah s.a.w menjawab: “Sekarang (sempurnalah Imanmu), wahai Umar.” (Riwayat Bukhari)

Wahai jiwa, adakah baginda insan yang paling utama dalam hidupmu?

Ya RasulAllah




Ya RasulAllah, kami merinduimu, kami ingin mencintaimu, kami berusaha mencintaimu.


Maafkan kealpaanku, dalam menuruti jalanmu.  
Maafkan ketidakgigihanku, dalam menghayati risalah Islam yang engkau perjuangkan.
Maafkan ketidaksungguhanku, dalam menyambung perjuangan dakwahmu.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...