4 Penentu

in


Dari Abu Barzah iaitu Nadhlah Bin 'Ubaid al-Aslami r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidak bergerak kedua kaki seorang hamba (di hadapan Allah) pada hari
kiamat (untuk ditentukan, apakah masuk syurga atau neraka) sehingga dia ditanya perihal umurnya, untuk apa dihabiskannya?
Perihal ilmunya, apa yang telah diamalkannya?
Perihal hartanya, dari mana dia memperolehnya? Dan pada apa dibelanjakannya?
Dan perihal jasad tubuhnya, untuk kepentingan apa digunakannya? "
(Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi, hadis hasan sahih)



Tanya pada diri…
Umurku, hari-hari yang kulalui, jam dan minit-minit yang berlalu, adakah menambah berat kepada neraca kebaikan yang bakal membuahkan ganjaran yang jauh lebih baik di akhirat kelak?

Ilmu yang telah aku pelajari, apakah aku telah mengamalkannya? Adakah sesuatu yang aku pelajari bermanfaat buat diri dan manusia? Ilmu tanpa amal, umpama pokok tanpa hasil buah yang tidak dapat dinikmati kelazatannya.

Hartaku, bagaimana aku membelanjakannya?

Allah s.w.t. memperingatkan:
Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (bakhil), dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya (boros dan membazir), kerana akibatnya akan tinggallah engkau dalam keadaan yang tercela serta menyesal.
(Al-Isra’: 29)

Perumpamaan (infaq) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat kurniaNya), lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.
(Al-Baqarah: 261)

Jasadku, ke mana tenaga dan kudrat dicurahkan? Adakah pada amal yang menyumbang kepada Islam, pada amal yang menjanjikan ganjaran pahala demi kebaikan diri di dunia dan akhirat yang kekal abadi?


Usaha Sebelum Terlewat


Berusahalah, agar jawapan kita kepada kesemua soalan tersebut, mengundang rahmat dan redha Allah s.w.t.
Berusahalah, sebelum malapetaka menimpa diri.
Bermujahadahlah, sebelum tamatnya waktu untuk amal dan usaha.    

54. "Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab, kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.
55. "Dan turutilah (Al-Quran sebagai panduan hidup) sebaik-baik yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.”
(Az-Zumar: 54-55)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...