Sultan Muhammad Al-Fateh

in







“Constantinople itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya” 
[Hakim, 4.422; Bukhari, Tarikh al-Saghir, 139; I. Hanbal, 4.335]

Pada suatu ketika pra-penawanan kota Constantinople, Sultan Muhammad Al-Fateh menghadap dinding kubu kota tersebut dan berkata:
“Aku akan menawanmu dengan kalimah kebenaran.”

Di bawah adalah sebuah dokumentari tentang pembukaan kota Constantinople oleh Sultan Muhammad Al-Fateh. Ikuti rentetan peristiwa yang membawa kepada realisasinya sebuah kejayaan yang hebat dalam sejarah Islam dan sejarah dunia.  

Moga menjadi renungan dan teladan bersama.

Part 1-3 (65 minit)


Part 4-6 (77 minit)





Berikut adalah petikan artikel daripada blog ustaz Hasrizal. Mari kita ambil iktibar.

CONSTANTINOPLE DAN UKURAN RABBANI


“Constantinople itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya” 
[Hakim, 4.422; Bukhari, Tarikh al-Saghir, 139; I. Hanbal, 4.335]

44H, Muawiyah bin Abi Sufian Radhiyallahu ‘anhu menghantar delegasi pertama umat Islam ke arah menundukkan Constantinople. Ramai sahabat yang menyertainya, termasuk Abu Ayyub al-Ansari dan Ibn Abbas sendiri. Mereka pergi dengan keyakinan yang tinggi terhadap janji Nabi SAW, bahawa Constantinople yang gah, sombong dan bongkak itu akan tunduk kepada Islam, bukan terjajah tetapi untuk dibebaskan dari perhambaan sesama mereka sendiri.

Bagaimanakah kekuatan Constantinople? Bagaimana cuaca di sana? Bagaimana sosio politik penduduknya?

Sahabat Nabi SAW tidak mengetahuinya. Namun kerana yakin dengan janji Baginda SAW bahawa kemenangan adalah untuk Islam… mereka teruskan jua.

Misi tidak berhasil. Bukan gagal, tetapi belum berjaya. Abu Ayyub al-Ansari radhiyyallahu ‘anhu terbunuh syahid. Biar pun mereka itu generasi sahabat yang dididik sendiri oleh Rasulullah SAW, namun Allah belum mengizinkan kemenangan kerana ada pelajaran besar yang perlu ditekuni oleh Ummah.

Usaha diteruskan lagi di zaman Sulaiman bin Abdul Malik, di zaman Harun al-Rashid dan terus dicuba dan dicuba…hingga ke era Sultan Yildirim Beyazit (1389-1403) dan Murad Ke-2 (1421-1451) di era Othmaniyyah… janji Nabi SAW belum tertunai.

Hinggalah muncul era pemerintah Kesultanan Othmaniyyah, Sultan ke-7 bergelar Sultan Muhammad bin Murad II menaiki takhta. Beliau insan biasa yang luar biasa.


Luar biasa pada keghairahannya terhadap misi Constantinople.

Luar biasa pada ketinggian akhlaq dan ilmunya.

Luar biasa pada penguasaan kemahiran memerintah dan peperangan.

Luar biasa pada Syariatullah dan Sunnatullah yang dijunjungnya atas nama TAQWA.

Sultan Muhamamad al-Fatih mengkaji aspek ketenteraan, aspek politik dan sosial Constantinople. Beliau mengetahui serba serbi tentang kekuatan dan kelemahan kota yang bakal ditundukkan itu lantas bertindak selaras dengannya. Malah bukan sahaja beliau yang hebat, tentera-tenteranya juga sama tinggi.

Semasa beliau bersama ribuan tenteranya bergerak menuju Constantinople, mereka telah melintasi ladang anggur. Sultan Muhammad telah berpura-pura jatuh gering.

“Hanya anggur sahaja yang mampu menyembuhkan sakit ini”, katanya.

Tetapi tidak ada seorang pun daripada tenteranya yang mempunyai buah anggur. Ladang anggur yang bukan milik mereka itu tidak disentuh dan tidak pernah menjadi salah satu daripada pilihan penyelesaian kepada masalah yang ada.

“Beta sudah sembuh!”, kata Sultan Muhamamd al-Fatih.

Ternyata tenteranya adalah sebaik-baik tentera. Sultan Muhammad ‘sembuh’ dengan ketinggian Syariatullah pada taqwa tenteranya, di samping Sunnatullah yang telah diperlengkapkan.

Setelah tawaran perdamaian di saat akhir ditolak, serangan dilancarkan bertubi-tubi… lebih sebulan pertempuran berlangsung dan akhirnya tibalah saat yang dijanjikan Allah dan Rasulnya, Constinople rebah di tangan insan biasa yang luar biasa… Sultan Muhammad bin Murad II… Sultan Muhammad al-Fatih.

Sabda Nabi SAW tentang kemenangan Islam di kota Constantinople bukan berlaku di tangan generasi sahabat. Ia berhasil di tangan sebaik-baik ketua dan sebaik-baik tentera, lebih 800 tahun selepas janji itu dilafazkan Baginda SAW.

Itulah formula kemenangan Islam.

Islam tidak menang hanya kerana nama perjuangan itu adalah perjuangan Islam. Kemenangan adalah untuk kesempurnaan usaha melengkapi syarat kemenangan.

Ayuh pejuang Islam… jika mahu menangkan Islam, jangan berikan alasan tembok Constantinople itu terlalu kukuh untuk runtuh. Jangan beri alasan perjalanannya yang jauh. Jangan beri alasan bahawa helahnya licik bagai belut di liku selut. Kemenangan itu dekat, jika pejuangnya melengkapi syarat TAQWA. Iaitu pada mematuhi Syariatullah dan Sunnatullah.

Integriti itu penting.

Komitmen kepada hukum syarak semasa turun berkempen itu penting.

Halal haram itu sentiasa penting.

Efisyensi rekod dan pengurusan itu penting.

Penggunaan segala skil komunikasi itu penting.

Teknologi itu penting.

Syariat dan Sains kedua-duanya itu penting.

Itulah formula memenangkan Islam.


MOTIVASI AKHIR

“Kota Constantinople itu akan berada di tangan umat ini.” pesan Baginda SAW kepada sahabat yang keletihan di medan Khandaq.

Constantinople?

Janji itu keterlaluan.

Masakan tidak. Penduduk Madinah hanya segelintir. Mereka itu pula antara hidup dan mati, tatkala dikepung segenap Barisan Nasionalis Arab yang bergabung membentuk tentera Ahzab. Tiba-tiba Baginda SAW memberikan janji bahawa kita yang kecil, antara hidup dan mati ini, akan menundukkan Constantinople, kota terbesar di dunia itu.

Apakah ini suatu kemustahilan?

Beginilah cara Nabi SAW memotivasikan sahabat.

Percaya selepas melihat sesuatu tiada nilai iman. Ia hanya suatu ikrar pada sesuatu yang telah ada hasilnya. Percaya seperti ini percaya murahan yang tidak berhajatkan kepada usaha dan pengorbanan.

Namun Baginda SAW mengajar para sahabat supaya percaya sebelum melihat sesuatu, dan bekerja keras untuk melihat apa yang mereka percaya.

Mereka percaya sebelum melihat dan bekerja keras untuk melihat apa yang mereka percaya.

Kita belum pernah melihat Syurga, namun kita mempercayainya. Maka bekerja keraslah untuk melihat apa yang kita percaya.

Bahawa kemenangan adalah milik Islam.

Andai cukup syarat-syaratnya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...