Umat Islam: Kualiti dan Kuantiti

in




Perang Badar menjadi bukti bahawa bilangan yang sedikit tidak menghalang Muslimin daripada menang  menghadapi musuh yang banyak bilangannya, dengan syarat terpasaknya dalam jiwa taqwa dan sabar.

Perang Hunain pula menjadi bukti bahawa bilangan yang ramai tidak dapat menolong Muslimin dalam mengatasi musuh, andai tiada keutuhan taqwa dan sabar.


Ayat al-Quran diturunkan mengenai perang Badar dan perang Hunain agar dijadikan sebagai pengajaran buat umat Islam. Sudahkah kita mengambil teladan dan sempadan?

Bilangan Muslimin yang sedikit dalam perang Badar tidak menjadi penghalang kemenangan, lantaran ketulenan Islam dan Iman, serta pegangan yang kukuh kepada Allah dan RasulNya.

Sebaliknya semasa perang Hunain, bilangan Muslimin amat ramai. Tetapi angka yang besar tersebut tidak menjamin kemenangan. Meskipun ramai, tetapi bagaimana dengan kekuatan iman di dalam jiwa?

Perang Hunain

Rasulullah s.a.w keluar menuju ke Lembah Hunain bersama angkatan berjumlah 12 000 orang - 10 000 dari Madinah dan 2 000 dari Mekah.
Melihatkan jumlah tentera yang besar, beberapa orang di kalangan tentera Muslimin berkata: “Kita pasti tidak akan kalah.”

Sebahagian daripada tentera Muslimin di perang Hunain itu terdiri daripada mereka yang hanya menggabungkan tubuh badan ke dalam pasukan Muslimin, tetapi hati dan jiwa masih dikuasai oleh dunia, masih terdapat sifat-sifat yang menjadi penghalang kepada turunnya pertolongan Allah s.w.t.

Oleh sebab itu, ramai dikalangan tentera Muslimin mundur ke belakang semasa berlakunya kacau-bilau dan porak-peranda akibat diserang hendap di Lembah Hunain.

Tetapi para mukminin sadiqin dari kalangan Ansar dan Muhajirin, kembali menghadapi musuh sebaik sahaja mendengar laungan dan panggilan Rasulullah s.a.w. Mereka terus mengelilingi Baginda s.a.w dan terus teguh mengharungi pertarungan sengit. Dan bilangan sadiqin itu tidak lebih dari 200 orang.

Dengan 200 orang sadiqin itu, kemenangan berbalik semula kepada Muslimin setelah hampir dimiliki pihak musuh. Sakinah (ketenangan) telah diturunkan dan ditempatkan semula ke dalam hati Muslimin. Pihak musuh musyrikin telah ditewaskan oleh tentera Allah, padahal mereka dalam angka bilangan berjumlah 12 000.

Firman Allah Ta’ala:
25. Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu di waktu kamu menjadi sombong kerana banyaknya jumlah kamu, maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai.

26. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tiada melihatnya, dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang yang kafir, dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang yang kafir.
(At-Taubah: 25-26)

Perang Badar

Benarnya niat, gigihnya ikhtiar dan usaha - syariatullah juga sunnatullah, dan penggantungan harapan hanya kepada Allah Ta’ala, menjadi asbab hadirnya bantuan yang dinanti daripada Allah Maha Perkasa.

9. (Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: "Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut."

10. Dan Allah tidak menjadikannya (mengirim bala bantuan itu), melainkan sebagai khabar gembira dan agar hatimu menjadi tenteram kerananya. Dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
(Al-Anfal: 9-10)

Realiti Kini

Kuantiti itu penting, tetapi kualiti lebih penting. Umat Islam tidak sedikit. Ramai. Tetapi Muslim yang berjiwa Muslim Mukmin masih kurang. Muslim yang menghayati Islam sebagai the way of life masih kurang. Pelbagai ‘penyakit’ masih melanda umat Islam. Buktinya, apa yang kita lihat pada hari ini. Pelanggaran larangan Allah, maksiat kepadaNya. Pengabaian solat, zakat dan puasa. Pakaian tidak menutup aurat dan tidak menepati syara'. Ikhtilat tidak syar’ie, khalwat, zina, rogol, rempit, curi, arak, judi, rokok, dadah, bunuh, homoseksual, murtad, pecah amanah, rasuah dan Al-Quran tidak diambil sebagai perlembagaan.

Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?" Mereka menjawab: "Agar kami mempunyai alasan (telah melaksanakan perintah Allah untuk memberi peringatan) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertakwa.

Maka tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang dari perbuatan jahat dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim siksaan yang keras, disebabkan mereka selalu berbuat fasiq.
(Al-A’raaf: 164-165)

Perubahan perlu dilakukan. Umat Islam perlu sedar dan bangkit. Umat Islam perlu membina kekuatan spiritual, kepakaran dan ekonomi, mencontohi kegemilangan Islam di waktu silam. Dan peranan pembinaan kekuatan umat kini terletak pada bahu semua muslim.

Perintah Allah Ta’ala:
Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka (musuh Allah) dengan kekuatan yang kamu miliki.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...