Hijrah Menuju Redha Allah

in


 

Daripada Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Seorang Muslim itu ialah orang yang kaum Muslimin lain selamat dari gangguan lisan dan tangannya (yakni selamat dari kekejaman perkataan serta perbuatannya). Seorang muhajir (yang meninggalkan) ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah."
(Muttafaqun 'alaih)


Kita tanya pada diri…
Adakah Allah dan Rasulullah redha dengan kata-kataku?
Adakah manusia berasa selamat apabila berbicara denganku?
Adakah kata-kataku, adalah kalimah yang tidak menyakiti saudaraku?
(klik)

Adakah Allah dan Rasulullah redha dengan perbuatanku?
Adakah manusia berasa aman berada di sampingku?
Adakah perbuatanku, adalah perbuatan yang tidak mengganggu ketenteraman hidup saudaraku?

Dalam kehidupan kita, kita sering inginkan sesuatu yang baik, yang bernilai dan berkualiti. Maka keinginan itu juga perlu ada pada kualiti Iman dan Islam dalam diri. Kita inginkan iman yang cantik dan indah. Maka kita perlu ambil berat dan jaga pada diri kita sifat-sifat seorang Muslim sebagaimana yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w.

Muhajir 

Rasulullah s.a.w. memberitahu kepada umatnya (iaitu kita) bahawa definisi seorang muhajir (pasca peristiwa hijrah) adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah s.w.t. Inilah konsep hijrah yang perlu kita fahami dan terapkan dalam ruh, akal dan jasad kita.

Hijrah daripada keburukan menuju kebaikan. Hijrah daripada kebaikan menuju kebaikan yang lebih banyak dan tinggi. Hijrah meninggalkan dosa menuju pahala. Hijrah meninggalkan maksiat menuju ketaatan.  

Ada yang bertanya, mengapa perlu bersusah-payah melakukan perubahan?
Ada yang berkata, sukar untuk melakukan perubahan, sukar untuk melakukan hijrah menuju kebaikan. Benar, lebih mudah untuk berkata-kata berbanding beramal. Easier said than done. Apatah lagi, setelah ulang-kali mencuba, masih gagal untuk melakukan perubahan, masih gagal mencapai hasil yang diinginkan.

Maka di sini kita perlu ambil motivasi dan semangat daripada ayat Allah s.w.t :
5. Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan (kesenangan dan ganjaran).
6. Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan (kesenangan dan ganjaran).
7. Maka apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain).
8. Dan kepada Tuhanmu hendaklah engkau mengharap.
(As-Syarh: 5-8)

Dalam ayat 5 dan 6, perkataan kesukaran itu disertakan dengan alif lam makrifah, bermakna kesukaran itu adalah kesukaran yang satu. Namun ganjaran daripada kesukaran itu, iaitu kesenangan, adalah lebih besar daripada kesukaran itu sendiri. Maka usah kita ragukan tentang apa yang akan kita peroleh daripada bermujahadah. Ganjarannya adalah lumayan. Itu janji Allah s.w.t. dan kekasihNya Rasulullah s.a.w.

Dalam suatu riwayat dikemukakan bahwa ketika turun ayat ini (As-Syarh:2-6), Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Bergembiralah kalian kerana akan datang kemudahan bagi kalian. Kesusahan tidak akan mengalahkan dua kemudahan."
(Diriwayatkan oleh Ibnu jarir yang bersumber dari al-Hasan)

Sabda Rasulullah s.a.w :
Di dalam syurga itu (ada nikmat-nikmat) yang tidak pernah ada mata yang melihatnya, tidak ada telinga yang pernah mendengarnya dan tidak pernah terlintas dalam hati seseorangpun.
(Riwayat Bukhari)

Merancang

Proses peningkatan diri memerlukan kepada perancangan. Gagal merancang, bermakna merancang untuk gagal. Gagal merangka strategi, adalah strategi menuju kegagalan. Sekiranya natijah yang diingini tidak kesampaian, lakukan penambahbaikan pada usaha. Cara berusaha, strategi berusaha, perlu diteliti.

Plan - Rancang
Implement - Laksana
Evaluate - Muhasabah

Lakukan setiap langkah dengan niat yang betul, seiring usaha berpaksikan keyakinan bahawa segala kekuatan itu hanya daripada Allah s.w.t.

Kepada Allah kita berdoa:
"Wahai Tuhanku! Masukkanlah aku (ke dalam urusan agamaku) dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah aku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu kekuasaan yang menolong."
(Al-Israa’:80)

Kita memohon kepada Allah s.w.t. supaya kita memasuki suatu ibadah dan selesai daripadanya dengan niat yang baik dan penuh keikhlasan serta bersih daripada riya’ dan daripada segala sesuatu yang merosakkan pahala.

Tetapkan Hati Kami Dalam Ketaatan

Dari Syahr bin Hausyab, katanya: "Saya berkata kepada Ummu Salamah radhiallahu 'anha: "Hai Ummul Mu'minin, apakah doa Rasulullah s.a.w. yang paling banyak, ketika baginda itu ada disisimu?"
Dia menjawab: "Paling banyak doa baginda s.a.w. itu ialah:
"Wahai Yang membolak-balikkan keadaan hati. Tetapkanlah hatiku atas agamaMu."
(Diriwayatkan Imam Tirmidzi, Hadis Hasan)

Daripada Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. mengucapkan - dalam doanya:
"Ya Allah, Yang Maha mengubah hati, ubahlah hati kami agar terus berada dalam ketaatan kepadaMu." (Riwayat Muslim)




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...