Pengorbanan Manifestasi Tarbiyyah

in


Firman Allah s.w.t :

“Daging (haiwan korban) dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.”
(Al-Hajj:37)




Artikel di bawah banyak meminjam ayat artikel Dr. Mohd Asri. Semoga ia menjadi renungan bersama.

Nabi Ibrahim a.s.

Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dipilih sempena Aidil Adha untuk mengingatkan umat ini tentang perjuangan dan pengorbanan. Hidup Nabi Ibrahim adalah hidup yang dipenuhi oleh perjuangan dan pengorbanan tanpa henti. Betapa sukar ujian yang dihadapi, untuk meletakkan pisau menyembelih seorang anak, bertarung dengan perasaan, kepentingan dan derita hati dalam melakukan perkara yang demikian.

Allah Yang Maha Penyayang bukan mahu supaya Nabi Ibrahim a.s. membunuh anak, sebab itu digantikan dengan haiwan yang sebenar. Allah mahu Nabi Ibrahim a.s. memperlihatkan bahawa cintanya kepada Allah mengatasi segala perasaannya. Itu kemuncak seorang nabi, itulah kemuncak seorang da’i dan itulah kemuncak seorang pejuang. Apabila kepentingan diri itu tidak lebih besar dari kepentingan dakwah dan perjuangan yang ditanggung.

Apabila kita melakukan korban mencontohi perbuatan Nabi Ibrahim a.s. sedangkan kita gersang jiwa dan kefahaman tentang hakikat perjuangan, maka tujuan pensyariatan itu tidak menuju ke sasarannya. Jadilah kadang-kala majlis korban itu majlis bermegah-megah, atau sekadar memberikan daging dan melupai falsafah perjuangan dan perngorbanan di sebaliknya.

Perjuangan Nabi Muhammad s.a.w dan Sahabah r.anhum

Nabi s.a.w dan para sahabah baginda telah merentasi lembah ujian yang perit untuk membawa dakwah ini. Di situlah mereka membelanjakan harta, menanggung sengsara dan keperitan hidup, bahkan menggadaikan nyawa. Bukan untuk kepentingan mereka semata, tetapi untuk manusia sejagat.

Di situlah mereka hayati kemanisan iman, kelazatan perjuangan, kenikmatan persahabatan juga kasih-sayang yang sebenar dari lubuk jiwa para pejuang. Di situ mereka menemui cinta yang sejati kepada Allah dan RasulNya. Ketika dunia kehairanan melihat mereka bagaikan memperjudikan diri untuk membawa risalah Tuhan, padahal mereka sebenarnya tenggelam khusyuk dalam lautan nikmat kecintaan dan tawakal kepada yang Maha Esa.

Mereka sebenarnya, menjual diri dan harta untuk mendapat ganjaran agung yang jauh lebih besar dari kehidupan dunia yang sementara.

Firman Allah Ta’ala (maksudnya):
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan kamu suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang pedih?
(Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang pada jalan Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itu lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahuinya.
(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar.”
(As-Saff:10-12)

Namun sebagai insan, seteguh mana pun perasaan, sekental mana pun jiwa akan terselit juga kesedihan dan dukacita apabila ujian itu datang bertalu-talu. Apabila kebaikan dibalas dengan keburukan. Apabila keikhlasan dibalas dengan kesombongan dan hasad dengki.

Untuk itu, Allah mengubat jiwa para pejuang dengan dihidangkan kisah-kisah pengorbanan, keperitan dan kesakitan yang dibaluti kesabaran yang telah dilalui oleh mereka yang terdahulu yang melalui denai dan becak perjuangan ini. Dengan kisah-kisah itu, akan menjadikan pejuang tidak kesepian, atau rasa bersendirian sebaliknya akan sedar inilah realiti sebuah perjalanan perjuangan yang mesti ditempuhi dalam memburu cinta Allah dan kasih rasulNya juga syurga yang dijanjikan.

Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu mendukacitakan engkau (wahai Muhammad), sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu keras dengan ayat-ayat Allah.
Dan sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu juga pernah didustakan, maka mereka sabar terhadap pendustaan dan penganiayaan (yang dilakukan) terhadap mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka. Dan sememangnya tiada sesiapa pun yang dapat mengubah kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya). Dan sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian daripada berita rasul-rasul itu.”
(Surah al-An’aam: 33-34)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...