Menjadi Dan Memberi Di Alam Perkahwinan
Menjadi
dan Memberi Di Alam Perkahwinan
Pemikiran yang betul dan
positif adalah syarat untuk kita bersikap positif. Mental attitude
yang betul sangat penting dalam melayari bahtera rumahtangga. Attitude
yang betul perlu untuk menghadapi cuaca rumahtangga yang tidak menentu.
Untuk membina dan mengekalkan kesuburan cinta,
kita perlu ada sikap positif. Tanpa sikap yang positif, cinta akan terbarai dan
kebahagiaan akan berkecai. Berikut adalah langkah praktikal bagaimana untuk kita
bina pemikiran yang positif seterusnya membentuk sikap yang
positif.
Fokus pada tanggungjawab diri, bukan
sekadar menuntut hak
Punca hati tidak tenang dan hilang kebahagiaan
dalam hidup kebanyakan manusia ialah perjuangannya untuk mendapatkan haknya
semata-mata. Manusia sering marah dan mengeluh dengan berkata, “Aku sepatutnya
tidak dilayan begini.” Dalam beberapa situasi, kita tidak mendapat apa yang
kita jangkakan dan harapkan. Betul bukan?
Fokus pada tanggungjawab diri – sebagai
suami atau isteri, kita dituntut oleh syariat Islam untuk melaksanakan tanggungjawab.
Tunaikan hak pasangan kita itu lebih utama daripada kita menuntut hak
kita. Menuntut hak tidak salah, Islam menggariskan hak-hak suami yang wajib
dipenuhi isteri, dan hak-hak isteri yang wajib dipenuhi suami. Namun,
menunaikan hak pasangan itu lebih utama.
Inilah prinsip asas, inilah golden rule
yang harus difahami dan digenggam oleh setiap daripada kita yang bakal atau
sedang melayari alam perkahwinan.
Adalah tidak bijak untuk terus membuang
masa dan tenaga memikirkan tentang apa yang sepatutnya berlaku berbanding apa
yang perlu dan patut kita lakukan. Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan
geramkan pasangannya yang sepatutnya berbuat begini atau begitu. Padahal,
pemikiran yang negatif itu akan memburukkan lagi keadaan.
Rasa-rasa yang negatif ini akan ‘menyedut’
tenaga, keceriaan dan akan menyebabkan kedutan pada wajah. Kesannya, kita akan
ditarik ke belakang. Malah kita akan ditolak ke lorong yang salah dalam kembara
kehidupan yang penuh ujian ini. Untuk bergerak ke hadapan dan terus memburu
kemajuan dalam diri agar lebih bahagia dan tenang dalam hidup, fokus kepada apa
yang kita boleh lakukan untuk melaksanakan tanggungjawab kita.
Sabda Rasulullah s.a.w. :
Siapa yang tidak
memberi rahmah (kasih sayang), dia tidak dirahmati (dikasihi disayangi).
(Muttafaqun
‘alaih)
Berilah hadiah sesama kamu, nescaya kamu akan saling cinta-mencintai. (Riwayat
Al Baihaqi)
Mereka yang berjaya melaksanakan tanggungjawabnya
dengan baik sering mendapat haknya sebagai ganjaran. Mereka yang memberi kasih sayang, akan mendapat kasih sayang sebagai
ganjaran. Kasih sayang daripada siapa? Kasih daripada Allah s.w.t Maha
Pencipta, kasih daripada sesiapa yang dikehendakiNya, juga daripada makhlukNya
di muka bumi, antaranya ialah pasangan hidup dan manusia.
Manusia sering
merasakan bahawa dengan menerima kebaikan, hati akan gembira dan
bahagia. Benar, tetapi ada satu lagi perkara yang akan membuatkan hati gembira
dan bahagia, iaitu memberi kebaikan. Mungkin ramai yang tidak percaya,
namun seringkali perkara inilah yang tidak dilakukan, yang menyebabkan hati
manusia tidak bahagia. Ya, tidak memberi kebaikan, maka hati tidak bahagia.
Giving, it is one of our needs. The need to give. Berilah kebaikan, buatkan pasangan gembira dan bahagia, nescaya kita juga akan gembira, bahagia dan terima kebaikan.
What you give is
what you get.
What goes around,
comes around.
Berkahwin bukan sekadar untuk menerima
daripada pasangan, tetapi juga untuk memberi. Tidak sempurna erti perkahwinan
dengan hanya menerima. Menjadi baik dan memberi kebaikan, adalah sebahagian
daripada erti perkahwinan.
Jalan menuju gerbang perkahwinan bukan
sekadar usaha mencari yang baik, tetapi juga usaha agar diri menjadi
baik, agar dapat memberi di alam perkahwinan.
Banyakkan usaha menjadi baik, dan
lebih baik, warnai kehidupan seharian dengan nilai-nilai Iman dan Islam. Kemudian
berusaha mencari yang baik, insyaAllah, yang terbaik akan Allah s.w.t
aturkan buat kalian.
Antara pesanan
isteri 'Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah: “Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredhaannya daripada keredhaanmu, dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu."
Kita juga perlu
jelas dengan apa yang dimaksudkan dengan kebaikan. Definisi baik buruk, menurut
neraca apakah yang kita pegang? Bukan neraca nafsu, bukan neraca akal manusia
semata-mata. Definisi baik buruk yang kita pegang adalah apa yang ditetapkan
Allah s.w.t., dalam kata lain, neraca syara’, neraca Islam. Perkara baik,
adalah apa yang syara’ tetapkan sebagai baik. Perkara buruk, adalah apa yang
syara’ tetapkan sebagai buruk.
Menjadi
dan Memberi Kebaikan Di Pentas Kehidupan
Firman Allah
Ta’ala:
Orang-orang yang
berbuat kebaikan di dunia ini mendapat (pembalasan) yang baik. Dan sesungguhnya
kampung akhirat adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang
bertakwa.
(An-Nahl: 30)
Ayuh kita berusaha menjadi baik, meningkatkan amal kebaikan, memberi
kebaikan kepada manusia. Jalan ke arah kebaikan itu banyak, medan amal kebaikan
itu luas. Berusaha agar semakin banyak kebaikan dapat dilakukan dan diberi,
nescaya semakin banyak kebaikan yang akan kita terima, di dunia, bahkan lebih lagi
di akhirat. Inilah janji Allah Yang Maha Pemberi, Maha Pembuka Rahmat.





