Tentang Syria dan Kita

in




Kita serba maklum bahawa saudara-saudari kita di Syria sana sedang berada dalam tekanan yang teramat di bawah pemerintahnya, Basyar Assad. Pembunuhan berlaku dengan penuh kekejaman dan telah tercatat bahawa angkanya mula mencecah puluhan ribu.

Kita sendiri sedia maklum dengan perkembangan di sana berdasarkan updates yang nyata tidak putus-putus di Facebook, jika kita seorang yang memerhati, dan rakan-rakan kita di Facebook pula adalah rakan-rakan yang cakna.

Kita lihat banyak rintihan, banyak seruan doa, banyak bicara semangat yang wujud. Ya, jelasnya, kita yang jauh daripada mereka,  yang nyata tidak punya kekuatan untuk mengangkat senjata, memang begitulah resmi bantuan kita. Berdoa. Menyebarkan maklumat. Menceritakan kebenaran. Ya, itulah yang kita mampu lakukan, tanda kita simpati, peka, sensitif dan berusaha untuk menghulurkan bantuan.

Tetapi apakah cukup sedemikian sahaja?

Apakah benar usaha yang boleh kita lakukan hanyalah berdoa, menyebarkan maklumat, menceritakan kebenaran semata-mata di alam maya, di alam realiti?

Tidak.

Ada lagi usaha yang boleh kita lakukan.


Khaled Mesyal Pernah Berkata

Semasa Palestin dibantai hebat oleh Israel pda perang Al-Furqan yang berlangsung bermula penghujung tahun 2009, lebih tepat 26 Disember 2009, satu kerosakan yang dahsyat dan masa hadapan yang gelap mewarnai hari-hari rakyat Palestin ketika itu. Hingga mendapat perhatian seluruh dunia, yang nyata amat hangat sekali.

Pada ketika itu, Khaled Mesyal, salah seorang pemimpin HAMAS ditanya oleh wartawan, apakah bantuan yang sepatutnya dihantarkan kepada Palestin?

Khaled Mesyal ketika itu menjawab:

Binalah ummat di kawasan kamu, itulah dia bantuan terbesar buat kami di sini, selain doa dalam qiamullail yang kamu dirikan.”

Ya. Itu jawapan seorang pemimpin HAMAS. Seruan yang paling tepat, solusi utama dalam menyelesaikan permasalahan ummat Islam hari ini. Islah. Perbaiki. Mantapkan. Perkuatkan. Itu yang diseru.


Mengapa Seruannya Sedemikian?

Saya melihat bahawa, inilah namanya amal jama’ie (amalan secara berjemaah). Mereka di Palestin, Syria, bergerak menentang dan menumbangkan kezaliman di negeri mereka. Sedang kita pula sepatutnya berusaha dan bergerak ‘membantu’ mereka dengan memperbaiki diri dan masyarakat kita.

Kerana jelas, dalam dunia global hari ini di mana negara-negara bukan Islam bersatu di bawah satu bendera, di bawah satu matlamat, dikuasai oleh Israel dan Amerika.

Sekiranya ada satu negara Islam yang benar naik, mereka akan berusaha mensabotajnya. Maka adalah satu langkah yang cermat dan logik, kita membina masyarakat kita, negara kita, agar mampu memperbanyakkan negara Islam yang benar, sekaligus menjadi penyokong ampuh kepada negara-negara Islam yang para mujahidinnya bersungguh berjuang.

Hal ini kerana, sekiranya mereka akhirnya berjaya, menang, dalam keadaan tiada negara Islam lain yang menyokong mereka kerana belum terislahnya kepimpinan di dalamnya, tidak terbina mentaliti rakyatnya, maka negara Islam ini akan mudah ditumbangkan semula oleh kesatuan Amerika dan Israel bersama konco-konco mereka.

Justeru, selain bantuan doa, penyebaran maklumat, pemberitahuan kebenaran, yang kita perlu lakukan adalah pembinaan diri, keluarga dan masyarakat.


Masyarakat Yang Buta, Tidak Akan Bangkit

Masyarakat yang buta, yang tidak terbina, tidak akan bangkit. Mereka tidak akan mengenali yang manakah kebenaran, yang manakah kebatilan. Mereka tidak akan mampu mengubah diri mereka. Mereka hanya akan merasa selesa.

Kerana itulah projek Islah Nafsaka Wad’u Ghairaka (Perbaiki diri kamu dan ajak orang lain) ini perlu berjalan. Kita proses diri kita, dan proses keluarga kita, sekaligus membina masyarakat yang kuat. Kita laksanakan dakwah, kita jalankan proses tarbiyah, membina ummat yang gagah.

Kalau benar hendak membantu Palestina, Syria, Chechnya, Afghanistan, Iraq dan sebagainya, begitulah cara dan dedikasi yang sebenarnya. Tidak cukup sebenarnya sekadar berpencak di Facebook, atau sekadar membuka perbincangan kedai kopi membicarakan hal timur tengah. Tetapi gerak kerja itu perlu ada.


Doa Tanpa Usaha Tidak Akan Merubah Apa-apa

Guru Ala’ Hilat pernah berkata:

“Kita lihat hari ini orang Islam berdoa supaya Allah menghancurkan Israel, memusnahkan tentera-tentera mereka dan menurunkan bantuan kepada kita. Tetapi, ingatlah semua bahawa, doa tanpa usaha tidak akan membawa apa-apa makna.”

Israel, untuk berjaya seperti hari ini, telah merancang dan berusaha pelbagai cara. Mereka bukan duduk diam dan mengharap semata-mata. Sistem Kibutsats yang dinyatakan, adalah sistem untuk mereka membina rakyat mereka agar mempunyai fokus untuk meruntuhkan Islam. Mereka tahu mereka sedang berperang dengan Allah SWT, tetapi mereka masih berusaha. Kerana itu, kita lihat hari ini mereka mengusai dunia. Mereka ubah diri mereka. Mereka mantapkan strategi mereka. Jadilah mereka seperti hari ini, mengawal dunia.

Maka begitulah kita ummat Islam perlu bangkit dan berubah.

Ubah diri, ubah keluarga, ubah masyarakat.

Disiplinkan diri, matangkan peribadi. Tingkatkan kefahaman akan Islam, bina kefahaman yang benar. Bergerak untuk mengajak agar lebih ramai lagi memahami Islam yang sebenar. Agar perkara ini berkembang dan berkembang, hingga masyarakat mempunyai kefahaman yang jelas.

Bila adanya perubahan ini, barulah segala harapan tadi dapat direalisasikan.


Kita Boleh Membantu Mereka!

Akhirnya, saya tegaskan di sini bahawa, kita boleh membantu mereka, saudara-mara kita di Syria, Palestin dan lain-lain.

Bantuan bukan sekadar doa, bukan sekadar ubat-ubatan dan pakaian.

Tetapi adalah dengan kita sendiri berusaha mengubah diri kita menjadi lebih baik, dan membawa masyarakat kita ke arah pemantapan aqidah, fizikal dan mental.





Rujukan:
Kita Membantu Mereka. Bukan Sekadar Doa | Hilal Asyraf

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...