Kaya Akhirat Kaya Dunia

in



Alangkah indahnya kehidupan orang kaya. Cakap sahaja apa yang dimahukan, hampir semuanya boleh dapat. Malah, kalau pegi ke mana-mana, ada sahaja yang hendak memberikan layanan ala first class. Jadi kalau ditanya kepada sesiapa – mahukah menjadi papa ataupun muflis? Jawapannya sudah tentu tidak!

Namun, dalam pada ramai yang cuba mengelak daripada menjadi muflis di dunia, ada antaranya pula terlupa untuk mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak bankrap di akhirat. Sebab itulah ramai yang ghairah mengaut kekayaan dengan bermacam-macam cara sama ada ‘halal’ ataupun ‘haram’.

Tetapi di celah-celah itu masih ada segelintir orang yang ghairah membuat persiapan untuk kaya di akhirat, jua di dunia. Alhamdulillah

Seorang Muslim Mukmin bukan hanya perlu mengejar kemewahan duniawi, tetapi juga kekayaan akhirat. Ini bersandarkan kepada sepotong ayat yang terdapat dalam kitab al-Quran.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Hendaklah tuntut kampung akhirat dengan (kekayaan) yang diberikan Allah kepada engkau dan janganlah engkau lupakan bahagian (nasib) engkau dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada manusia) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepada engkau dan janganlah engkau berbuat bencana di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang perbuat bencana itu.” (al-Qashash:77)

Penilaian kepada muflis di dunia adalah bersandarkan kepada harta, sementara akhirat pula adalah pahala. Justeru itu, untuk menjadi individu kaya di hari kemudian kelak, kekayaan harta dunia itu perlu ditransformasi atau ditukarkan kepada bentuk pahala.


Lakukan transformasi


“Kita tidak boleh mengejar kekayaan hanya untuk di dunia atau hanya untuk di akhirat sahaja. Kita juga tidak boleh menjadi bankrap di dunia semata-mata hendak menjadi kaya di akhirat. Kita kena kedua-duanya sekali. Sebab manusia yang paling baik adalah yang kaya di dunia dan kaya juga di akhirat. Dengan kata lain, dia kaya harta dan kaya pahala.”

Individu kaya beruntung kerana dia boleh menukarkan aset dunianya bagi membolehkan dia membuat pelaburan pahala di akhirat. Hal ini berbeza pula dengan orang yang kurang berada, apalagi seorang fakir.


Namun, golongan yang berada harus ingat – kalau hari ini dia kaya di dunia, tidak mustahil dia boleh menjadi muflis di akhirat gara-gara gagal menggunakan hartanya secara berhikmah di jalan Allah. Dan boleh jadi harta itu juga akan menyebabkan dia lengah masuk syurga.

Namun, bagi yang kurang berada pula, walaupun peluang menggandakan pahala untuk akhirat tidak sebanyak orang kaya, dia juga sebenarnya turut beruntung. Ini kerana kurang harta boleh menjadi asbab dia kurang berbuat dosa dalam proses pengendalian harta yang ada.

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pelbagai cara untuk mengaut pahala demi kekayaan di akhirat. Bagi yang berkemampuan dari segi material, sudah tentu membelanjakan harta dalam bentuk yang diredai Allah boleh menukarkan ia kepada pahala.

Ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi.

Pertama, benda yang kita belanjakan itu tidak termasuk dalam perkara haram.

Kedua, niat mestilah ikhlas kerana Allah.


Bersedekah keseluruhan harta


Ini bukanlah cara terbaik untuk membuat pelaburan di akhirat. Kalau kita hendak mendapatkan banyak pahala sebagai saham di akhirat, janganlah pula sampai kita melarat, tidak boleh hidup di dunia. Kita kena tengok model Rasulullah s.a.w.

Baginda pernah bertanya kepada sahabat – siapa yang mahukan pahala di akhirat dengan menginfakkan harta benda mereka?

Lantas Abu Bakar bangun dan berkata ya. Rasulullah bertanya berapa banyak? Dan Abu Bakar memberitahu ingin menginfakkan keseluruhan hartanya sehingga yang tinggal hanyalah Rasul dan Allah. Mendengar kata-kata Abu Bakar, Nabi Muhammad terus berkata tidak boleh.

Kemudian Umar Al-Khattab pula menawarkan diri dengan menginfakkan separuh daripada hartanya. Ini turut ditolak oleh baginda.

Sebaliknya Rasulullah menegaskan bahawa hanya satu pertiga sahaja yang boleh diinfakkan. Selebihnya adalah untuk diri dan keluarga.



Bersedekahlah kepada keluarga terdekat


Walaupun seseorang itu melakukan sesuatu demi meraih pahala untuk akhirat, dia tidak boleh meletakkan dirinya di dunia dalam jurang kemusnahan. Dengan kata mudah, seorang Muslim tidak boleh sengaja menyusahkan dirinya.

Bagi sedekah dalam Islam sebenarnya bermula dari kaum kerabat dulu. Maknanya kalau kita tidak beri cukup makan kepada keluarga kita, tetapi kita beri sedekah kepada orang lain walaupun anak yatim, itu sudah kira salah. Kita kena utamakan keluarga, kemudian baru kepada anak-anak yatim. Kalau emak kita miskin, kita kena bagi dulu kepada emak. Sebab sedekah kepada emak itu lebih perlu.


Abdullah bin Umar RA berkata: Seseorang datang menghadap Nabi s.a.w. memohon izin untuk ikut berperang.
Nabi s.a.w. bertanya: “Apakah kedua orang tuamu masih hidup?”
Orang itu menjawab: “Ya”.
Nabi s.a.w. bersabda: “Maka untuk keduanyalah kamu berperang (dengan berbakti kepada mereka).
(Riwayat Muslim)

Wallahu’alam.



Fikir, Muhasabah, Perbaiki Diri, Dakwah

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan amal soleh.” (Fussilat:33)
Susuri keindahan Islam, sebarkan indahnya Islam, semoga bertambah ganjaran pahala kita disulami redha dan cinta Allah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...